Thursday, March 14, 2013

AINUL MARDHIAH

‘Ainul Mardhiah’ merupakan seorang bidadari yang paling cantik di kalangan bidadari-bidadari yang lain. Suatu pagi (dalam bulan Ramadhan) ketika Rasulullah SAW memberi targhib (berita-berita semangat di kalangan para Sahabat untuk berjihad pada agama Allah) Baginda berkata: ” Sesiapa yang keluar di jalan Allah, kemudian tiba-tiba dia syahid, maka dia akan dianugerahkan seorang bidadari yang paling cantik di kalangan bidadari-bidadari Syurga”.





Mendengar berita itu salah seorang Sahabat yang usianya sangat muda teringin hendak mengetahui gambaran cantiknya bidadari tersebut, tetapi beliau malu hendak bertanya kepada Nabi kerana kehadiran para sahabat-sahabat yang lain. Namun beliau tetap menyerahkan namanya sebagai salah seorang yang akan keluar berjihad. Sebelum Zohor, Sunnah Nabi akan tidur sebentar (disebut juga sebagai Qailullah) maka sahabat yang muda tadi juga turut tidur bersama jemaah tadi.

Dalam tidur tersebut Sahabat yang muda tadi bermimpi berada di satu tempat yang sungguh indah, dia bertemu dengan seorang lelaki yang berpakaian yang bersih lagi cantik dan muka yang berseri-seri lalu dia bertanya, “Di manakah saya berada sekarang?” Lalu lelaki itu menjawab, ” inilah Syurga.”

Pemuda tadi menyatakan hasratnya untuk berjumpa dengan ‘Ainul Mardhiah, lalu dia ditunjukkan untuk menuju ke suatu arah. Beliau pun berjalan hingga bertemu dengan suatu pohon dan beliau mendapati kehadiran seorang wanita yang amat cantik, belum pernah dia melihat kecantikan sebegitu di dunia ini.

Dia memberi ucapan salam kepada wanita tadi dan bertanya,” Adakah saudari Ainul Mardhiah?”

Wanita itu menjawab, ”  Tidak, saya adalah khadamnya, Ainul Mardhiah sedang berada di dalam singgahsana sana”.

Lalu dia berjalan lagi dan memasuki satu mahligai yang cukup indah, di sana dia mendapati ada seorang lagi wanita yang kecantikannya berganda-ganda dari yang pertama tadi sedang mengelap permata-mata perhiasan di dalam mahligai.

Pemuda itu memberi salam, kemudian bertanya, “Adakah saudari ini Ainul Mardiah?”

Wanita itu menjawab, ” Maaf, saya bukan Ainul Mardhiah, saya hanya khadamnya di dalam mahligai ini. Ainul Mardiah ada di atas mahligai sana.”

Pemuda itu terus menaiki anak-anak tangga mahligai permata itu, kecantikkannya amat mengkagumkan. Akhirnya dia sampai ke satu mahligai dan dia bertemu seorang wanita yang berganda-ganda cantik dari yang pertama dan berganda-ganda cantiknya dari yang kedua, kecantikan yang tak pernah dilihatnya di dunia ini. Wanita itu berkata, ” Sayalah Ainul Mardhiah, saya diciptakan untuk saudara dan saudara diciptakan untuk saya. Bila pemuda itu mendekatinya wanita itu menjawab, ” Saudara, sabar, saudara belum syahid lagi!”.

Pemuda itu tersentak dan terus terjaga dari tidurnya. Kemudian dia menceritakan segala-galanya kepada seorang sahabat lain, namun begitu dia berpesan agar tidak menceritakan mimpinya ini kepada Nabi SAW. Andainya dia syahid barulah boleh diceritakan kepada Nabi SAW.

Petang itu pemuda itu ikut serta keluar berperang bersama Rasulullah SAW dan pasukan tentera Islam, ditakdirkan pemuda itu syahid. Setelah hampir waktu berbuka puasa semua jemaah pulang ke masjid, mereka bersama-sama menunggu makanan untuk berbuka. Maka kawan sahabat yang syahid tadi telah bangun dan merapati Nabi SAW dan menceritakan perihal sahabat Nabi yang syahid tadi. Rasulullah SAW mengucapkan benar…benar…benar… dalam sepanjang cerita tersebut.

Akhirnya Rasululah SAW berkata ” Memang benar cerita sahabat kamu tadi dan sekarang ini dia sedang menunggu untuk berbuka puasa di Syurga.”


Thursday, December 29, 2011

Yawmul Hubb (Hari CintaNya)

Allah SWT menjadikan hari Jumaat sebagai hari yang paling istimewa untuk Nabi Muhammad SAW dan umatnya iaitu umat Islam pada masa sekarang kerana pada hari ini tersimpan keutamaan, fadhilat dan hikmah.

Pada hari Jumaat Allah SWT telah meletakkan kelebihan yang tidak terhingga. Pada hari inilah terciptanya Nabi Adam as, turunnya Nabi Adam as ke bumi serta hari wafat baginda. Pada hari Jumaat juga akan terjadinya kiamat. 

Hari Jumaat adalah hari yang paling besar disisi Allah SWT, bahkan lebih besar dari Hari Raya Aidul Fitri dan Aidul Adha, kerana di antara malam dan siangnya tersimpan masa yang paling mustajab, tidak ada tabir penghalang doa insan terhadap Ilahi yang berkemungkinan akan dimakbulkan selagi tidak meminta yang tidak sepatutnya. Pada hari Jumaatlah hari yang harus kita penuhi dengan sebaik-baiknya dengan beribadah kepada Allah SWT.

Antara hikmah-hikmah hari jumaat ialah:

  • Hari yang paling utama. Disini terdapat dua hadis yang menyatakan hari Jumaat adalah hari yang paling utama. Yang pertama, Abu Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Aus bin Aus ra. Berkata , Rasulullah SAW bersabda : 
   “Sesungguhnya yang utama dari hari-harimu ini ialah hari Jumaat, di dalamnya terjadi Nabi Adam as, dan pada hari itu juga beliau wafat, dan pada hari itu juga akan ditiup sangkakala, dan pada hari itu juga akan mati semua makhluk. Maka perbanyakanlah membaca selawat kepadaku, kerana selawatmu itu disampaikan kepadaku.”
       Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah SAW menjelaskan.
   “Barang siapa yang pergi ke masjid untuk solat Jumaat pada waktu pertama, maka seolah-olah dia telah mengorbankan seekor unta. Dan siapa yang pergi pada saat kedua, maka seolah-olah ia telah mengorbankan seekor lembu. Siapa yang pergi pada saat ketiga, maka seolah-olah dia telah pergi mengorbankan sekor biri-biri. Siapa yang pergi ke masjid pada saat keempat, maka seolah-olah dia telah mengorbankan seekor ayam. Dan siapa yang pergi ke masjid pada waktu kelima, maka seolah-olah telah menghadiahkan sebiji telur. Kemudian apabila imam telah, maka ditutuplah pintu cacatan, diletakkan pena dan berkumpullah para malaikat di sisi mimbar untuk mendengarkan khutbah. Siapa yang datang selepas itu, maka ia hanya datang untuk hak solat sahaja , dia tidak memperoleh apa-apa keutamaan” (HR Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah)

Thursday, December 22, 2011

CINTA menurut Imam AlGhazali



Imam AL-Ghazali berpendapat bahawa cinta itu berasaskan kepada beberapa sumber. Pertama: perkenalan kedua: kesesuaian dan yang ketiga : kemesraan. 


Tiga perkara penting ini akan melahirkan rasa cinta diantara satu sama lain beliau juga telah membahagikan kepada beberapa bahagian :






1) Cinta terhadap kewujudan diri sendiri.
   Bererti naluri setiap manusia ingin kepada kekal kewujudannya dan menolak kemusnahannya. Manusia benci kepada kematian. Manusia kasih pada dirinya, kemudian kasih kepada hartanya,anak-anak, dan keluarganya.




2) Cinta kepada orang yang berbuat baik kepadanya.
      Sifat tabii manusia suka orang berbuat baik kepadanya, kerana dengan adanya orang ini maka akan kewujudan taadi dan ini akan membantu menolak kemusnahan dirinya. Kerana itu manusia kadang-kadang cinta kepada orang selain dari keluarganya semata-mata kerana dia telah berbuat baik kepadanya.





3) Cinta kepada kebaikan.
      Meskipun tidak berbuat baik kepadanya. Ia cinta kepada orang yang berbuat baik, bererti ia cinta kepada kebaikan. Inilah yang hakiki.




Thursday, September 22, 2011

Kisah Aku Dan Cinta

Kisah Aku dan Cinta

Tiada siapa yang tahu
Tiada siapa yang mengerti
Kerna cuma aku yang merasa
hanya aku..

Cinta juga ciptaan Pencipta
Pencipta Alam Semesta
yang mencipta dengan penuh Cinta
Dan Dia tinggalkan sedikit baranya
di dunia
supaya manusia dan jagat raya merasa
subhanaLLah
Betapa kasihnya Dia
Betapa CINTAnya Dia
Hakikatnya
Cinta itu Dia
dan Dia adalah Cinta !!



Terima KASIH CINTA 
















Sunday, September 11, 2011

Destinasi Cinta Ilahi


Dalam sebuah riwayat mengatakan bahawa seorang lelaki munafik yang sangat kedekut telah bersumpah kepada isterinya supaya tidak menyedekahkan sesuatu apa pun kepada orang lain. Maka suatu hari datang seorang peminta sedekah ke rumah wanita itu ketika suaminya tiada di rumah. Peminta sedekah itu berkata, “Wahai penghuni rumah, tolonglah berikan aku sesuatu”.
Sebaik sahaja isteri orang munafik itu mendengar permintaan peminta sedekah, lalu diberinya 3 keping roti. Lalu peminta sedekah itu berlalu dan mengucapkan terima kasih. Dalam perjalanannya, dia bertemu dengan lelaki munafik tersebut lalu lelaki munafik itu bertanya kepada peminta sedekah, “Di manakah kamu mendapat roti ini?” Maka pengemis menjawab, “Orang di rumah sana memberiku”.
Orang munafik mengetahui bahawa rumah yang dimaksudkan adalah rumahnya, lalu dia pulang dengan perasaan marah dan berkata kepada isterinya, “Bukankah aku telah melarang kamu dari memberikan sesuatu apa pun kepada sesiapa?” Isterinya menjawab, “Aku berikan roti kepada pengemis itu kerana Allah S.W.T”.

Apabila orang munafik itu mendengar kata-kata isterinya, maka dia menjadi sangat marah lalu menyalakan dapur rotinya sehingga panas. Kemudian dia berkata kepada isterinya, “Berdirilah dan campakkanlah diri kamu ke dalam api ini kerana Allah”.
Isterinya akur dengan kehendak suaminya lalu memakai perhiasannya dan berhias sehingga cantik. Orang munafik itu berkata, “Kamu jangan pakai perhiasan-perhiasan ini”. Isterinya menjawab, “Seorang kekasih akan memakai perhiasan untuk kekasihnya, sedangkan aku adalah orang yang sedia berkunjung pada kekasihku (Allah)”.
Setelah itu, wanita tersebut terus terjun ke dalam dapur tempat membuat roti yang panas lalu orang munafik tesebut menutup tudung dapur dan beredar dari situ. Setelah tiga hari, orang munafik itu pun membuka tudung dapur dan dia terperanjat apabila melihat isterinya itu masih sihat tanpa terdapat apa-apa kecacatan pada dirinya berkat kuasa Allah.
Kemudian terdengarlah orang munafik itu suara dari langit yang berkata, “Kamu tidak mengerti bahawa sesungguhnya api tidak akan membakar kekasih-kekasih Kami”.

—————————————
Dari kisah ini apa yang dapat disampaikan adalah mereka yang benar-benar mencintai Allah dan agamaNya akan terselamat dari siksaan api di dunia mahupun api neraka di akhirat kelak. Jadi mari sama-sama kita muhasabah diri di manakah kedudukan kita di sisi Allah kini? Apakah kita ada perasaan seperti wanita tersebut yang begitu cintakan Allah? Sama-sama kita renungkan.