Saturday, April 9, 2011

Puisi Engkau

Aku kerdil dan biasa,
Keseorangan dan sunyi sentiasa,
Derita dan duga datang bertimpa-timpa,
Kompleks dan tidak difahami manusia,

Hanya Engkau yang aku ada
Kau tahu segala-gala,
Sentiasa di sisiku setiap masa,
Maka kepada Engkau sahaja aku meminta

Engkau sentiasa melihatku,
Mendengar luahanku tanpa jemu,
Memahamiku,
Dan sentiasa memberikan apa yang kuperlu.

Engkau Yang Maha Perkasa sentiasa melindungi,
Buat aku mampu merentas arus dunia ini,
mengenaliMu, memahamiMu, buat aku tidak peduli dengan segala tribulasi,
kerna aku percaya dan percaya,
Kau adalah Yang Tidak Akan Menzalimi

Aku tenang dalam pelukanMu,
Engkaulah penyeka air mataku,
Pengubat luka-lukaku,
Pendamai jiwa dan hatiku.

Sungguh kepada Engkau sahaja kutumpahkan segala ketaatan,
Untuk Engkau sahaja segalanya sanggup kukorbankan,
Kerna tiada seutuhMu,
Yang mampu mengekalkan bahagia di dalam hatiku.

~Hilal Asyraf~

Wednesday, April 6, 2011

Aku dan Cinta

sesekali langkah ku tersungkur..
aku rebah dengan penuh kehinaan
diuji dengan cinta manusia
sedang aku mendamba cintaNya
ya ilahi..tunjukkan aku jalanMu
berikan aku kekuatanMu
agar aku dapat melalui semua ini
agar dunia ini tidak memanipulasi diriku
agar kejayaan itu masih milikku
agar kebahagiaan itu masih bisa untuk ku kecapi..

Wednesday, March 30, 2011

Puisi Kisah Seorang Pencari Cinta

Dia rasa kekosongan,
Di dalam jiwa,
Tidak sempurna untuknya kehidupan,
Lantas dia keluar mencari isinya,
Akhirnya dia bertemu dengan jawapan,
Yang diperlukan rupanya adalah cinta.

Dia keluar dari hidupnya,
Melawan arus kebiasaan,
Mencari cinta daripada manusia,
Dengan mengharap kepada Tuhan,
Dan berjumpalah dia dengan satu jiwa
Di situlah terubat kekosongan hidupnya.

Rupanya hidup tidak berubah menjadi indah sempurna,
Ujian demi ujian,
Dugaan demi dugaan,
Dan dia hampir sahaja kecewa,
Ada waktu jiwanya terseksa,
Adakala hatinya menderita,
Berfikir semula,
Apakah benar telah terubat kekosongan jiwanya?
Lantas dia kembali kepada Tuhan,
Menangis dan mengadu
Mengapa Kau aturkan begini hidupku?

Pada sujud tangisnya itulah,
Perasaan terisi muncul lagi,
Tersedar dia dari kehidupannya sendiri,
Ah, rupanya dia yang silap memahami,
Kekosongan di dalam hati tidak semata terisi dengan cinta insani,
Tetapi juga memerlukan cinta Ilahi,
Salah satu takkan mencukupi keduanya,
Sempurna kehidupan adalah menyatukannya bersama.

Kemudian dia menjadi lebih kuat,
Sentiasa tersenyum dan senyumannya bersinar hebat,
Hidupnya sebagai manusia sempurna,
Dengan cinta dunia dan akhirat,
Itulah dia kisah pencari cinta,
Yang ingin mengisi kekosongan jiwanya

Manusia bukan untuk ditinggalkan,
Allah bukan untuk dilupakan,
Hidup ini perlukan kedua-duanya,
Biar kehidupan menjadi benar-benar sempurna.

~Hilal Asyraf~

Tuesday, March 22, 2011

Kasturi Cinta-Mashitah Si Penyisir

Meneliti kisah seorang wanita..yang sangat mencintai rabbNya..tidak gentar dengan ancaman Firaun...mati dalam keimanan dan kecintaan yang sejati hinga kuburnya terselah haruman kasturi...dialah Mashitah,tukang sisir rambut puteri Firaun.

Umum mengetahui Firaun - raja Mesir ketika itu mengaku dirinya tuhan dan memaksa rakyat menyembah dan memperhambakan diri kepadanya. Sesiapa yang ingkar suruhan dan perintahnya akan disiksa atau dibunuh. 



Dengan takdir Allah SWT, rahsia Mashitah yang selama ini menyembunyikan keislamannya terbongkar. Hal ini terjadi pada suatu hari ketika Mashitah menyikat rambut salah seorang daripada puteri Firaun. Tiba-tiba sikat itu terjatuh dan dengan tidak sengaja beliau menyebut nama Allah. 

Perkataan Allah yang terkeluar dari mulut Mashitah itu didengar puteri Firaun. Lantas ia bertanya apakah maksud perkataan tersebut. Pada mulanya Mashitah teragak-agak dan enggan menjawab pertanyaan itu. Tetapi selepas berkali-kali didesak puteri Firaun itu, beliau menyatakan dengan tenang: “Allah adalah Tuhanku dan Tuhan sekalian alam.” 

Alangkah terkejutnya puteri Firaun dengan penjelasan Mashitah itu. Tidak disangkanya ada lagi Tuhan selain daripada Firaun. Ini mendorongnya untuk menceritakan apa yang terjadi kepada Firaun. 

Mashitah dipanggil dan penyiasatan dijalankan. Selepas jelas kepada Firaun bahawa Mashitah memeluk agama Islam yang dibawa Nabi Musa dan tidak mengaku Firaun sebagai Tuhan, maka dengan kekuasaan yang ada padanya, Firaun menghukum Mashitah dan keluarganya yang memeluk Islam. 

Sesungguhnya sumbangan dan jasa Mashitah kepada Firaun amat besar. Selain menjadi tukang sikat kepada puteri-puteri Firaun, Mashitah juga mengasuh dan mengurus istananya (Firaun). Tetapi jasa Mashitah tidak dikenang Firaun. 

Hukuman bunuh yang dikenakan ke atas Mashitah dan keluarganya itu dianggap sebagai satu ujian dan dugaan daripada Allah. Tuhan hendak menguji sejauh mana ketabahan iman Mashitah. Kesediaannya menghadapi dugaan jelas terbukti kerana Mashitah, walaupun memiliki fizikal yang lemah, beliau mempunyai kekuatan jiwa yang tidak dapat ditandingi wanita lain. 

Mashitah dengan lapang dada menerima apa saja yang dilakukan manusia kufur, sombong, bongkak dan tiada berhati perut. Sudah menjadi lumrah alam, manusia yang lemah akan terus ditindas dan diseksa jiwa dan hatinya. 

Hukuman yang akan dikenakan ke atas Mashitah dan keluarganya ialah mereka akan direbus hidup-hidup. Hamman, menteri yang dipertanggungjawabkan oleh Firaun untuk melaksanakan tugas itu mengarahkan pegawainya menyediakan sebuah kawah besar. Air dimasak sehingga mendidih. 

Selepas persiapan disediakan, Mashitah dan keluarganya dipanggil untuk mengetahui sikap dan pendiriannya. Mashitah dan keluarganya diberi kata dua oleh Hamman - menyembah Firaun kembali atau dihumban ke dalam kawah jika terus beriman kepada Allah. 

Secara tegas dan tenang Mashitah menyatakan pendirian dan keimanannya. Mereka akan terus beriman kepada Allah. 

Mendengar jawapan tegas darpada Mashitah itu, Hamman memaksa Mashitah dan keluarganya terjun ke kawah yang airnya menggelegak panas itu. 

Orang pertama yang dicampak ke dalam kawah ialah suami Mashitah, diikuti tiga anaknya. Anaknya yang keempat yang masih bayi itu dibiarkan berada dalam kendongan Mashitah. Alangkah sedih, hiba dan sayunya hati Mashitah melihat suami dan anak-anak terkapai-kapai di dalam air yang menggelegak itu. 

Melihat keadaan Mashitah dan anaknya yang masih merah itu, syaitan mengambil kesempatan menggodanya. Dibisiknya ke telinga Mashitah rasa kasihan dan simpati terhadap anak-anaknya yang tidak tahu apa-apa itu. Ini menyebabkan hati Mashitah serba salah - sama ada hendak terjun atau tidak ke dalam kawah bersama-sama anaknya itu. 

Tetapi kudrat Allah mengatasi segala-galanya. Dengan spontan Allah menjadikan anak Mashitah yang kecil itu kebolehan untuk berkata-kata. Didorongnya ibunya, Mashitah supaya segera terjun ke kawah. Antara lain kata-kata anaknya: “Wahai ibu! Marilah kita menyusul ayah. Sesungguhnya syurga menanti kita.” 

Mendengar kata-kata anaknya itu, Mashitah dengan penuh rasa kehambaan lantas terjun ke dalam kawah yang sedang menggelegak airnya. Pengawal mengacau kawah dengan sudip besi seperti mereka merebus ikan. Matilah Mashitah bersama-sama suami dan anak-anaknya demi untuk mempertahankan keimanan dan akidah mereka yang suci. 

Tetapi Allah Maha Adil dan Maha Bijaksana. Sebarang kezaliman dan kekejaman tidak dibiarkan berlaku begitu sahaja. Allah telah meruntuhkan kerajaan dan istana Firaun di mana Hamman dan pegawai-pegawai yang membunuh Mashitah dan keluarganya mati terperangkap dalam runtuhan istana tersebut. Takhta dan harta benda semuanya tenggelam dan hilang. 

Hamman dan pegawainya diberi balasan setimpal dengan apa yang mereka kerjakan. Manusia yang ingkar memang wajar dimatikan dalam keadaan hina. Dan di akhirat kelak kehinaan yang lebih hebat akan mereka terima dan rasai. 

Sebaliknya Mashitah dan keluarganya akan dimuliakan Allah. Walaupun mereka hidup susah, hina dan menderita di dunia, di akhirat kelak mereka akan hidup dalam keadaan bahagia dan gembira. 

Ketika berlaku peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah telah melalui satu makam yang baunya harum bak kasturi. Malaikat Jibrail yang mengiringi Rasulullah telah memberitahu baginda itulah makam Mashitah, seorang penghuni syurga.

Wednesday, March 16, 2011

Dimana Dia Di Hatimu



Semasa Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur, dalam perjalanan hendak berhijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir menemui mereka.
Ketika Saidina Abu Bakar cemas, Rasulullah s.a.w. menenangkannya dengan berkata, "Jangan takut, ALLAH bersama kita."
Itulah kehebatan Rasulullah, ALLAH sentiasa di hatinya.
Ketika di ambang maut?
Sewaktu Da'thur, seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah s.a.w. lalu meletakkan pedang di leher baginda dan bertanya, "Siapakah akan menyelamatkan kamu daripadaku?"
Jawab Rasulullah penuh yakin, "ALLAH."
Mendengar jawapan itu, gementarlah Da'thur dan terlepaslah pedang daripada tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah... sentiasa ada DIA di hati baginda.
Ketika tiada siapa mengetahui?
Diceritakan juga bahawa pada suatu ketika Khalifah Umar Al-Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di sebuah padang pasir. "Boleh kau jualkan kepadaku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?"
"Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja."
"Kambing ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini. Jika kau jualkan seekor kepadaku dan kau katakan kepada tuanmu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuanmu tidak akan mengetahuinya," desak Saidina Umar lagi, sengaja menguji.
"Kalau begitu, di mana ALLAH?" ujar budak itu.