Wednesday, March 30, 2011

Puisi Kisah Seorang Pencari Cinta

Dia rasa kekosongan,
Di dalam jiwa,
Tidak sempurna untuknya kehidupan,
Lantas dia keluar mencari isinya,
Akhirnya dia bertemu dengan jawapan,
Yang diperlukan rupanya adalah cinta.

Dia keluar dari hidupnya,
Melawan arus kebiasaan,
Mencari cinta daripada manusia,
Dengan mengharap kepada Tuhan,
Dan berjumpalah dia dengan satu jiwa
Di situlah terubat kekosongan hidupnya.

Rupanya hidup tidak berubah menjadi indah sempurna,
Ujian demi ujian,
Dugaan demi dugaan,
Dan dia hampir sahaja kecewa,
Ada waktu jiwanya terseksa,
Adakala hatinya menderita,
Berfikir semula,
Apakah benar telah terubat kekosongan jiwanya?
Lantas dia kembali kepada Tuhan,
Menangis dan mengadu
Mengapa Kau aturkan begini hidupku?

Pada sujud tangisnya itulah,
Perasaan terisi muncul lagi,
Tersedar dia dari kehidupannya sendiri,
Ah, rupanya dia yang silap memahami,
Kekosongan di dalam hati tidak semata terisi dengan cinta insani,
Tetapi juga memerlukan cinta Ilahi,
Salah satu takkan mencukupi keduanya,
Sempurna kehidupan adalah menyatukannya bersama.

Kemudian dia menjadi lebih kuat,
Sentiasa tersenyum dan senyumannya bersinar hebat,
Hidupnya sebagai manusia sempurna,
Dengan cinta dunia dan akhirat,
Itulah dia kisah pencari cinta,
Yang ingin mengisi kekosongan jiwanya

Manusia bukan untuk ditinggalkan,
Allah bukan untuk dilupakan,
Hidup ini perlukan kedua-duanya,
Biar kehidupan menjadi benar-benar sempurna.

~Hilal Asyraf~

Tuesday, March 22, 2011

Kasturi Cinta-Mashitah Si Penyisir

Meneliti kisah seorang wanita..yang sangat mencintai rabbNya..tidak gentar dengan ancaman Firaun...mati dalam keimanan dan kecintaan yang sejati hinga kuburnya terselah haruman kasturi...dialah Mashitah,tukang sisir rambut puteri Firaun.

Umum mengetahui Firaun - raja Mesir ketika itu mengaku dirinya tuhan dan memaksa rakyat menyembah dan memperhambakan diri kepadanya. Sesiapa yang ingkar suruhan dan perintahnya akan disiksa atau dibunuh. 



Dengan takdir Allah SWT, rahsia Mashitah yang selama ini menyembunyikan keislamannya terbongkar. Hal ini terjadi pada suatu hari ketika Mashitah menyikat rambut salah seorang daripada puteri Firaun. Tiba-tiba sikat itu terjatuh dan dengan tidak sengaja beliau menyebut nama Allah. 

Perkataan Allah yang terkeluar dari mulut Mashitah itu didengar puteri Firaun. Lantas ia bertanya apakah maksud perkataan tersebut. Pada mulanya Mashitah teragak-agak dan enggan menjawab pertanyaan itu. Tetapi selepas berkali-kali didesak puteri Firaun itu, beliau menyatakan dengan tenang: “Allah adalah Tuhanku dan Tuhan sekalian alam.” 

Alangkah terkejutnya puteri Firaun dengan penjelasan Mashitah itu. Tidak disangkanya ada lagi Tuhan selain daripada Firaun. Ini mendorongnya untuk menceritakan apa yang terjadi kepada Firaun. 

Mashitah dipanggil dan penyiasatan dijalankan. Selepas jelas kepada Firaun bahawa Mashitah memeluk agama Islam yang dibawa Nabi Musa dan tidak mengaku Firaun sebagai Tuhan, maka dengan kekuasaan yang ada padanya, Firaun menghukum Mashitah dan keluarganya yang memeluk Islam. 

Sesungguhnya sumbangan dan jasa Mashitah kepada Firaun amat besar. Selain menjadi tukang sikat kepada puteri-puteri Firaun, Mashitah juga mengasuh dan mengurus istananya (Firaun). Tetapi jasa Mashitah tidak dikenang Firaun. 

Hukuman bunuh yang dikenakan ke atas Mashitah dan keluarganya itu dianggap sebagai satu ujian dan dugaan daripada Allah. Tuhan hendak menguji sejauh mana ketabahan iman Mashitah. Kesediaannya menghadapi dugaan jelas terbukti kerana Mashitah, walaupun memiliki fizikal yang lemah, beliau mempunyai kekuatan jiwa yang tidak dapat ditandingi wanita lain. 

Mashitah dengan lapang dada menerima apa saja yang dilakukan manusia kufur, sombong, bongkak dan tiada berhati perut. Sudah menjadi lumrah alam, manusia yang lemah akan terus ditindas dan diseksa jiwa dan hatinya. 

Hukuman yang akan dikenakan ke atas Mashitah dan keluarganya ialah mereka akan direbus hidup-hidup. Hamman, menteri yang dipertanggungjawabkan oleh Firaun untuk melaksanakan tugas itu mengarahkan pegawainya menyediakan sebuah kawah besar. Air dimasak sehingga mendidih. 

Selepas persiapan disediakan, Mashitah dan keluarganya dipanggil untuk mengetahui sikap dan pendiriannya. Mashitah dan keluarganya diberi kata dua oleh Hamman - menyembah Firaun kembali atau dihumban ke dalam kawah jika terus beriman kepada Allah. 

Secara tegas dan tenang Mashitah menyatakan pendirian dan keimanannya. Mereka akan terus beriman kepada Allah. 

Mendengar jawapan tegas darpada Mashitah itu, Hamman memaksa Mashitah dan keluarganya terjun ke kawah yang airnya menggelegak panas itu. 

Orang pertama yang dicampak ke dalam kawah ialah suami Mashitah, diikuti tiga anaknya. Anaknya yang keempat yang masih bayi itu dibiarkan berada dalam kendongan Mashitah. Alangkah sedih, hiba dan sayunya hati Mashitah melihat suami dan anak-anak terkapai-kapai di dalam air yang menggelegak itu. 

Melihat keadaan Mashitah dan anaknya yang masih merah itu, syaitan mengambil kesempatan menggodanya. Dibisiknya ke telinga Mashitah rasa kasihan dan simpati terhadap anak-anaknya yang tidak tahu apa-apa itu. Ini menyebabkan hati Mashitah serba salah - sama ada hendak terjun atau tidak ke dalam kawah bersama-sama anaknya itu. 

Tetapi kudrat Allah mengatasi segala-galanya. Dengan spontan Allah menjadikan anak Mashitah yang kecil itu kebolehan untuk berkata-kata. Didorongnya ibunya, Mashitah supaya segera terjun ke kawah. Antara lain kata-kata anaknya: “Wahai ibu! Marilah kita menyusul ayah. Sesungguhnya syurga menanti kita.” 

Mendengar kata-kata anaknya itu, Mashitah dengan penuh rasa kehambaan lantas terjun ke dalam kawah yang sedang menggelegak airnya. Pengawal mengacau kawah dengan sudip besi seperti mereka merebus ikan. Matilah Mashitah bersama-sama suami dan anak-anaknya demi untuk mempertahankan keimanan dan akidah mereka yang suci. 

Tetapi Allah Maha Adil dan Maha Bijaksana. Sebarang kezaliman dan kekejaman tidak dibiarkan berlaku begitu sahaja. Allah telah meruntuhkan kerajaan dan istana Firaun di mana Hamman dan pegawai-pegawai yang membunuh Mashitah dan keluarganya mati terperangkap dalam runtuhan istana tersebut. Takhta dan harta benda semuanya tenggelam dan hilang. 

Hamman dan pegawainya diberi balasan setimpal dengan apa yang mereka kerjakan. Manusia yang ingkar memang wajar dimatikan dalam keadaan hina. Dan di akhirat kelak kehinaan yang lebih hebat akan mereka terima dan rasai. 

Sebaliknya Mashitah dan keluarganya akan dimuliakan Allah. Walaupun mereka hidup susah, hina dan menderita di dunia, di akhirat kelak mereka akan hidup dalam keadaan bahagia dan gembira. 

Ketika berlaku peristiwa Israk dan Mikraj, Rasulullah telah melalui satu makam yang baunya harum bak kasturi. Malaikat Jibrail yang mengiringi Rasulullah telah memberitahu baginda itulah makam Mashitah, seorang penghuni syurga.

Wednesday, March 16, 2011

Dimana Dia Di Hatimu



Semasa Rasulullah s.a.w. dan Saidina Abu Bakar bersembunyi di Gua Thur, dalam perjalanan hendak berhijrah ke Madinah, musuh-musuh Islam sudah berdiri di hadapan pintu gua dan hampir menemui mereka.
Ketika Saidina Abu Bakar cemas, Rasulullah s.a.w. menenangkannya dengan berkata, "Jangan takut, ALLAH bersama kita."
Itulah kehebatan Rasulullah, ALLAH sentiasa di hatinya.
Ketika di ambang maut?
Sewaktu Da'thur, seorang tentera musuh menyerang hendap Rasulullah s.a.w. lalu meletakkan pedang di leher baginda dan bertanya, "Siapakah akan menyelamatkan kamu daripadaku?"
Jawab Rasulullah penuh yakin, "ALLAH."
Mendengar jawapan itu, gementarlah Da'thur dan terlepaslah pedang daripada tangannya. Itulah kehebatan Rasulullah... sentiasa ada DIA di hati baginda.
Ketika tiada siapa mengetahui?
Diceritakan juga bahawa pada suatu ketika Khalifah Umar Al-Khattab ingin menguji seorang budak gembala kambing di sebuah padang pasir. "Boleh kau jualkan kepadaku seekor daripada kambing-kambing yang banyak ini?"
"Maaf tuan, tidak boleh. Kambing ini bukan saya yang punya. Ia milik tuan saya. Saya hanya diamanahkan untuk menjaganya sahaja."
"Kambing ini terlalu banyak dan tidak ada sesiapa selain aku dan kamu di sini. Jika kau jualkan seekor kepadaku dan kau katakan kepada tuanmu bahawa kambing itu telah dimakan oleh serigala, tuanmu tidak akan mengetahuinya," desak Saidina Umar lagi, sengaja menguji.
"Kalau begitu, di mana ALLAH?" ujar budak itu.


Monday, March 14, 2011

ciNta bagiNda s.a.w...what bout' us??


Pernahkah kita merasai rindu pada junjungan agung Muhammad saw. Pernahkah pula kita terfikir beliau amat merindui kita sejak dulu, kini dan selama-lamanya. Kisahnya di abadikan sehinggalah kehari ini apabila kita meraikan hari Maulidur Rasul sempena mengenang hari kelahiran beliau tetapi adakah cinta dan rindu kita hanya sekadar  itu atau mengingati beliau ketika waktu yang tertentu atau terbatas pada hari dan peristiwa tertentu sahaja, Sedarilah wahai muslimin dan muslimat bahawa cintanya rindunya pada kita semua tidak pernah hilang walaupun ketika ia dipanggil menemui Allah pada hunjung nyawanya tetap dibibirnya mengucap dan mengenang kita semua dengan kalimah “Umati..Umati” atau “Umatku..Umatku..” . Begitulah gambaran hebatnya rindu Rasulullah saw pada kita semua.
Di kisahkan pada suatu hari ketika Rasulullah saw bersama-sama sahabatnya seraya baginda bertanya kepada mereka :
“Siapakah yang paling hebat imannya?” tanya Rasulullah. ”Malaikat,” jawab sahabat. “Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah,” jelas Rasulullah.Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, “Para nabi.”"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka.”"Mungkin kami,” celah seorang sahabat.”Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau,” pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.”Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui,” jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.”Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku,” jelas Rasulullah.
Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar.Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian. Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna. “Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? ” Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.”Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku ,” suara Rasulullah bernada rendah.”Kami juga saudara-saudaramu, wahai Rasulullah,” kata seorang sahabat yang lain pula. Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian baginda bersuara, “Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka.”
“Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka,” ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu dengan berbaur kesayuan pada ucapannya itu.


Friday, March 11, 2011

hE is Our LOve ^_^


Alangkah bertuahnya umat ini kerana dikurniakan seorang Rasul yang memiliki cinta agung yang tulus dan sejati terhadap umatnya. Baginda SAW mengungkapkan cintanya dengan ungkapan-ungkapan cinta yang paling murni dan sejati, termasuklah cinta seorang ayah kepada anaknya, seperti sabdanya,
“Sesungguhnya diriku bagi kalian bagaikan seorang ayah bagi anaknya.” (riwayat al-Darimi).
Jika para bapa yang lain lebih banyak berjasa memelihara kebajikan material yang tidak kekal sifatnya, Rasulullah adalah bapa paling mithali dan paling layak menerima segala darjah kebesaran dan pujian kerana Baginda juga adalah bapa yang membelai dan menyubur jiwa dan roh umatnya agar berjaya di sini dan di alam abadi.
Hidup dan matinya sentiasa tamak menghulurkan kasih sayang, inginkan kebaikan dan kesejahteraan untuk anak-anaknya, sentiasa merasa berat melihat kesusahan yang ditanggung oleh umatnya dan sentiasa tamak berusaha memberikan petunjuk kepada mereka agar mereka terselamat daripada lubuk kesesatan dan kerosakan.
Allah SWT menjelaskan kecintaan dan keprihatinan Baginda ini melalui firman-Nya dalam surah al-Taubah ayat 128. Malah Rasulullah pernah bersabda:
Sesungguhnya perumpamaanku dengan umatku seperti seorang lelaki yang menyalakan api, lalu datang serangga dan kelkatu mengerumuni api itu. Maka aku berusaha menjauhkan kalian dari terkena api itu, sedangkan kalian sentiasa ingin mendekati api itu. (riwayat Bukhari dan Muslim).
Apa sahaja yang dilakukan dan difikirkan oleh Baginda semata-mata demi umatnya sehingga Baginda tidak reda seorang pun umatnya terjerumus ke neraka.
Diriwayatkan oleh Muslim dalam sahihnya daripada Abdullah ibnu ‘Amru ibnu al ‘As berkata: Pada suatu ketika, Rasulullah SAW membaca firman Allah mengenai Nabi Ibrahim as:
Wahai Tuhanku! Berhala-berhala itu telah menyebabkan sesat banyak di antara umat manusia. Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka dia adalah dari golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya dia insaf dan bertaubat). (Ibrahim: 36)
Kemudian Baginda SAW membaca pula perkataan Nabi Isa as iaitu dalam surah al-Maidah ayat 118.
Setelah itu, Nabi mengangkat kedua tangannya dan berdoa sambil menangis: Ya Allah! Umatku! Umatku! Lalu Allah berfirman kepada Jibril as, “Wahai Jibril! Pergilah kamu kepada Muhammad – sememangnya Allah lebih Mengetahui – tanyalah kepadanya apa yang menyebabkan dia menangis.” Maka Jibril as menemui Nabi SAW, lalu bertanya kepada Baginda SAW dan Baginda mengkhabarkan kepada Jibril as sebab tangisannya. Maka Allah berfirman kepada Jibril as, “Pergilah kamu menemui Muhammad dan katakanlah kepadanya bahawa Allah berfirman kepadanya: “Sesungguhnya Kami akan membuatkan engkau reda pada umat engkau dan Kami tidak akan menyakiti (mendukacitakan) engkau dalam urusan umat engkau.
Menurut Imam Nawawi, hadis ini menunjukkan kesempurnaan sifat kasih Nabi SAW terhadap umatnya, keprihatinan Baginda terhadap kemaslahatan dan keadaan mereka. Ia juga menerangkan tentang kebesaran kedudukan Nabi SAW di sisi Allah dan betapa besarnya kelembutan Allah terhadap hamba-Nya. Pengutusan Jibril as kepada Baginda SAW menzahirkan lagi ketinggian kedudukan Baginda di sisi Allah di tempat yang teratas sehingga Baginda dimuliakan dengan diberikan kepadanya apa yang disukai dan diredainya. (Sohih Muslim bi Syarh Imam al Nawawi jilid 2 H: 438)
so,marilah kita bersama2 menyubur cinta rasul dalam diri kita masing2 agar kita diberi peluang untuk mendapat syafaat baginda di akhirat kelak,banyakkan berselawat dan praktikkan sunnah2 baginda,moga kita digolongkan dalam kalangan yang mencintai baginda!selamat bercinta..